LIONEL Scaloni menepis kritikan mengenai gelagat pemain Argentina ketika menghadapi Belanda.

La Albiceleste akan bertemu Croatia dalam separuh akhir Piala Dunia di Qatar, awal pagi esok, selepas menundukkan Belanda menerusi penentuan sepakan penalti.

Juara Copa America itu mendahului 2-0 di Stadium Lusail tetapi kedudukan kembali seimbang 2-2 menerusi dua gol daripada Wout Weghorst.

Tetapi ketangkasan Emiliano Martinez membuka jalan buat Lautaro Martinez untuk memastikan kemaraan mereka dalam penentuan sepakan penalti dan menghantar Argentina ke separuh akhir.

Perlawanan itu turut terpalit dengan kontroversi apabila beberapa pemain Argentina meraikan sambutan liar di depan bangku simpanan Belanda, manakala berlaku pertengkaran di tepi garisan ketika Lionel Messi bertentang mata dengan jurulatih skuad Oranje, Louis van Gaal.

Scaloni, bagaimanapun, tidak percaya pasukannya berkelakuan buruk.

“Permainan ini berlangsung dengan cara yang kami perlu mainkan, kedua-dua pasukan melakukannya,” katanya dalam sidang media.

"Sesetengah perlawanan, pertengkaran, saling cabar-mencabar boleh berlaku. Sebab itu wujudnya pengadil bagi memastikan keadilan.


"Kami perlu menamatkan tanggapan bahawa ini berpunca daripada Argentina. Kami tewas kepada Arab Saudi tetapi tidak pula mengundang sebarang tingkah laku buruk.

“Kami memenangi Copa America di Brazil dan dengan penuh semangat kesukanan, Messi, Leandro Paredes dan Neymar boleh duduk bersama-sama di dalam terowong pemain.

"Saya tidak yakin dengan idea tentang tingkah laku tiada semangat kesukanan ini. Kami bangga beraksi dengan corak permainan kami dan membiarkan pengadil untuk membuat keputusan. Kami menghormati semua pasukan, baik Belanda, Croatia dan semua lawan. Ia salah satu ciri utama keperibadian kami.

"Kami perlu menamatkan idea bahawa kami berkelakukan buruk, baik ketika menang mahupun kalah. Tanggapan itu sangat jauh daripada identiti sebenar kami sebagai sebuah pasukan dan cara kami mewakili negara ini."