LUIS Enrique melontarkan amaran kepada Sepanyol agar tidak cepat berpuas hati menjelang pertembungan Piala Dunia dengan Jerman dan berpandangan La Roja bakal dihukum andai mereka terlalu yakin.

Juara 2010 itu melancarkan kempen mereka di Qatar dengan kemenangan bergaya 7-0 ke atas Costa Rica untuk merakamkan tujuh gol dalam satu perlawanan dalam pusingan akhir buat kali pertama.

Gergasi Eropah itu akan memastikan tempat ke pusingan 16 dengan berbaki satu perlawanan sekiranya mereka membenam Jerman awal pagi esok - yang dikalahkan 6-0 ketika kedua-dua pasukan bertemu pada kali terakhir dalam Liga Negara-Negara (UNL), dua tahun lalu.

Berikutan kekalahan mengejut mereka kepada Jepun, pasukan kendalian Hansi Flick itu berdepan terkandas dalam rintangan pertama mereka buat kali kedua berturut-turut sekiranya Costa Rica gagal menewaskan Samurai Blue dalam satu lagi perlawanan membabitkan Kumpulan E.

Bercakap kepada media dalam sidang media pra-perlawanan, Luis Enrique berkata: "Kami cuba menguruskan kemenangan (ke atas Costa Rica) dengan normal.

"Ia sungguh memberangsangkan dan ia menyuntik keyakinan tetapi kami tidak sepatutnya terlalu yakin. Kami berdepan lawan yang akan memalu kami jika kami terlalu yakin.

"Ia satu cabaran yang hebat. Mereka telah memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali. Kami amat menghormati mereka, mereka mempunyai pemain yang hebat dan sejarah tidak dapat dinafikan.

"Jerman adalah pasukan yang sangat bagus, begitu banyak mobiliti. Jika kami boleh mengawalnya maka baguslah. Jika tidak, saya perlu memikirkan setiap elemen."

Kemenangan 7-0 Sepanyol ke atas Costa Rica itu merupakan catatan terbesar mereka dalam Piala Dunia dan Luis Enrique menambah: "Tetapi kami masih yakin kami boleh mengalahkan Jerman. Kami tidak mahu berdepan satu perlawanan yang terbuka memandang mereka mungkin memberikan asakan tinggi dan kami mungkin menanggung terlalu banyak risiko.

"Terdapat banyak perkara yang perlu kami ketahui tetapi kami perlu mematuhi prinsip kami yang hampir sama dengan mereka," katanya. - Astro ARENA