NAIB juara Euro 2020, England tidak akan mara ke suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 tanpa jaringan penyerang The Three Lions, Harry Kane.

Malah Jordan Henderson berkata, penyerang Tottenham Hotspur itu akan kembali lebih kuat selepas terlepas sepakan penalti ketika England ditunjukkan jalan keluar Perancis dari bumi Qatar pada perlawanan suku akhir.

Kane menjaringkan gol pertama England menerusi sepakan penalti minit ke-54, namun percubaan kali keduanya enam minit sebelum wisel penamat melewati palang.

“Kami tahu berapa banyak penalti yang telah Harry hasilkan untuk England.

"Dia menjaringkan gol pertama dan berapa banyak gol yang dia telah jaringkan untuk membawa kami ke sini. Saya pasti dia akan menjadi lebih kuat untuk itu dalam jangka masa panjang.

"Dia penyerang bertaraf dunia dan kapten England dan kami tidak akan berada di sini tanpanya,” kata pemain tengah The Three Lions itu selepas tewas 1-2 kepada Perancis di Stadium Al Bayt.

England pimpinan Gareth Southgate tampil ke bumi Qatar dengan reputasi tinggi selepas mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 diikuti final Euro 2020.

Pada masa sama, Henderson mengakui England juga berpeluang untuk memenangi perlawanan itu, namun Perancis lebih bijaksana memanfaatkan peluang diperoleh dalam pertembungan dua kuasa Eropah tersebut.

"Rasanya seperti peluang yang terlepas kerana saya merasakan persembahannya sangat bagus dan tumpuan serta kecergasan adalah baik setiap hari.

"Anda perlu memberi kredit kepada Perancis, mereka pasukan yang bagus tetapi saya percaya England boleh menang," katanya.

Pada perlawanan itu, England mula memburu permainan dari minit ke-17 apabila Aurelien Tchouameni meletakkan penyandang juara di hadapan dengan rembatan jarak jauh yang deras.

“Memang mengecewakan untuk ketinggalan 1-0 tetapi saya fikir kami menunjukkan watak dan mentaliti untuk terus mara pada separuh masa kedua bagi mencari gol penyamaan.

"Kami telah memberikan segala-galanya namun ia bukan malam kami," ujarnya.

Sementara itu, penalti pertama Kane minit ke-53, menyamakan kedudukannya dengan Wayne Rooney sebagai penjaring terbanyak England sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa.

Untuk rekod, Kane adalah penjaring terbanyak di Rusia empat tahun lalu dengan enam gol ketika England mara ke empat terakhir, namun pemain berusia 29 tahun itu hanya berjaya jaring dua gol di Qatar. - Sinar Harian