IPOH: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu pegawai dan pemain yang terlibat dalam kempen Piala Malaysia 2021 supaya lebih peka dengan prosedur operasi standard (SOP) kendiri yang ditetapkan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata sekiranya perkara itu dipandang mudah, ia bakal mengundang masalah sekali gus boleh merencatkan kemeriahan saingan kejohanan berkenaan.

"Kita menyediakan SOP begitu ketat namun akhirnya yang paling penting adalah SOP kendiri setiap pemain. Kita mesti faham apa yang boleh, apa tidak boleh dilakukan kerana jika kita terjangkit ia boleh menjangkiti lebih ramai individu lain.

"Jadi, saya mengharapkan semua pasukan ambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum ini dan perlu peka dengan SOP ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Senamrobik Perdana Peja Trophy 2021 yang berlangsung di Padang Bola Sepak Lintau di sini, hari ini.

Pada 22 Okt, skuad bola sepak Negeri Sembilan FC mengumumkan pasukan itu terpaksa menarik diri daripada beraksi pada baki saingan Piala Malaysia yang akan bersambung pada 30 Okt ini susulan 20 pemain dan empat pegawai disahkan positif COVID-19.

Keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan barisan pemain dan pegawai yang disahkan positif COVID-19 itu perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari di rumah melalui pemantauan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahmad Faizal berkata pihaknya juga akan terus berhubung dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memastikan setiap pasukan yang bertanding bebas daripada penularan wabak COVID-19.

"Kita perlu tahu status pasukan-pasukan ini daripada semasa ke semasa dan ia penting kerana jika berlaku perkara di luar jangka, ia boleh dibendung lebih awal daripada merebak dengan skala lebih besar," katanya.

-- BERNAMA