SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan penyokong Selangor FC agar menjaga tatatertib dan tingkah laku ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara pasukan itu dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, hari ini, Sultan Sharafuddin berharap penyokong pasukan Merah Kuning itu tidak akan mencetuskan kekecohan serta mencemarkan nama baik pasukan termasuk terbabit dalam sebarang bentuk pergaduhan, walau apapun keputusan perlawanan.

Hantaran tersebut turut memaklumkan Sultan Selangor berharap setiap penyokong haruslah bersikap matang dan tidak melayan provokasi berlebihan.

Sultan Sharafuddin juga mahu semua yang hadir ke stadium membawa bersama semangat kesukanan dan sorakan gemuruh, sekali gus memberi suntikan semangat kepada para pemain.

Baginda turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Selangor FC dan JDT, menurut hantaran itu.



--BERNAMA