KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara meneruskan rentak kecemerlangan apabila muncul juara kumpulan pada aksi terakhir Kumpulan C Piala Sudirman 2023 selepas mencatat kemenangan ke atas Taiwan, 4-1 di Suzhou, China hari ini.

Kemenangan pasukan kebangsaan bermula dengan aksi juara Orleans Masters Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mengumpul mata sulung untuk pasukan negara.

Pasangan itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengetepikan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 17-21, 21-19, 21-17.

Perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia kemudian meneruskan momentum dengan menewaskan pemain yang berada di kedudukan kelima dunia Chou Tien Chen 21-14, 23-21 dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama 52 minit.

Bagaimanapun Tai Tzu Ying yang menduduki tangga ketiga dunia dan juga pemegang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo menjadi wira Taiwan apabila mudah menundukkan perseorangan wanita negara Goh Jin Jin Wei 21-8, 21-10 dalam 28 minit sahaja.

Kekalahan terbabit tidak mematahkan semangat beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk mengutip mata ketiga negara dengan menewaskan gandingan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-8,21-10.

Beregu nombor lapan dunia Pearly Tan-M. Thinaah pula menempuh perlawanan sengit selama satu jam 11 minit menentang Hsu Ya Ching-Teng Chun Hsun, sebelum meraih mata kemenangan Malaysi 21-15,19-21, 21-15.

Kemenangan ke atas Taiwan itu memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan yang menjadi juara kumpulan sekali gus mengelak bertemu juara kumpulan lain dalam undian suku akhir.

Isnin lepas, Malaysia sudah mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas merakam kemenangan kedua dengan menewaskan India 5-0.

Terdahulu India yang menumpaskan Australia 4-1, turut mengesahkan slot ke peringkat suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan C .

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan, Ee Weiberkata kemenangan itu adalah hasil bekalan strategi daripada jurulatih, selain sokongan padu yang dipamerkan skuadnya sepanjang perlawanan berlangsung.

"...pasukan saya juga memberi sokongan kepada kami, jurulatih juga memberi strategi yang betul dan boleh difahami untuk mendapatkan mata," katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi kepada pemberita hari ini.

-- BERNAMA