Malaysia gagal menyaingi kehebatan juara bertahan, Australia apabila tewas 1-6 dalam aksi pusingan awal Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-26 malam tadi.

Pada aksi di hadapan kira-kira 2,000 penyokong di Stadium Azlan Shah di sini, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan pantas bagi memburu jaringan awal apabila saling mengasak kubu lawan masing-masing.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen, bagaimanapun gagal mempertahankan gawang mereka apabila Tom Craig menyumbat gol pertama Australia, yang merupakan pasukan nombor dua dunia, pada minit ke-11 dan diikuti Trent Mitton pada minit ke-23 dan 27.

Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia berjaya memperoleh dua pukulan sudut penalti, namun gagal menghasilkan gol berikutan kecekapan pertahahan pasukan Australia mengawal kubu mereka daripada dibolosi.

Usaha pasukan negara bagaimanapun berhasil apabila menjaringkan gol pertama menerusi pukulan penalti Faizal Saari pada minit ke-42, sebelum Craig menambah derita pasukan Malaysia melalui dua lagi jaringan pada minit ke-38 dan 44.

Australia terus menggandakan asakan ke kubu Malaysia dan Mitton menjaringkan gol keenam pasukan itu pada minit ke-58.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, jurulatih Australia Colin Batch berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang menampilkan peningkatan berbanding perlawanan semalam apabila seri 1-1 menentang New Zealand .

"Banyak yang kita belajar daripada perlawanan semalam termasuk memanfaatkan semua peluang bagi menjaringkan gol dan Tom Craig menunjukkan prestasi cemerlang malam ini," katanya.

Bagi Stephen pula, anak buahnya sudah melakukan yang terbaik pada perlawanan malam ini.

"Walaupun pemain telah berjuang habis-habisan terutama pada 15 minit terakhir perlawanan, pada masa yang sama mereka melakukan kesilapan sehingga membenarkan Australia menambah jaringan," katanya.

Laluan Malaysia untuk berada dalam kelompok empat terbaik dilihat amat sukar kerana pasukan negara perlu menang ketiga-tiga perlawanan selepas ini.

Jadual (Selasa)

India mln Australia - 4.05 petang

New Zealand mln Jepun - 6.05 petang

Malaysia mln Great Britain - 8.35 malam

- BERNAMA

SHMS NBA ERE 30/04/2017 23-45ST