KUALA LUMPUR: Memenangi pingat emas pertama dalam sukan Olimpik 2024 menjadi satu kewajiban bagi Malaysia.

Memasuki tahun baharu 2023, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, 'Road to Gold' bukan sekadar membawa pulang pingat tetapi mencipta templat tentang kaedah pelaburan dalam atlet.

Jelasnya, ini termasuk bagaimana memastikan setiap pertandingan itu dikira, memupuk ekosistem sukan mampan, perkumpulan data bakat baharu akar umbi, pembinaan pangkalan peminat atlet dan kaedah meningkatkan ukuran pembangunan dan kejayaan sukan.

"Pingat emas pertama kita dan percubaan kita untuk menang akan melahirkan wira negara yang baharu yang memberi inspirasi kepada generasi juara serta memartabatkan semua sukan di semua peringkat.

"Kita akan menyimpan impian yang lebih besar dalam setiap bidang kehidupan dan industri dan kita akan percaya pada diri semula.

"Semoga usaha untuk mendapatkan emas pertama dalam diri kita akan menjadi semangat kecemerlangan yang akan meningkatkan taraf anak muda Malaysia dan akan kekal bersama mereka sepanjang hayat," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Sementara itu, Hannah berkata, selepas sebulan dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dan menyertai penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan, jelas terbukti bahawa sukan bukanlah tanggungjawab individu.

"Apabila atlet atau pasukan menang di pentas terbesar, sementara kegemilangan itu dicurahkan kepada pemenang, pencapaian itu menandakan banyak perkara yang betul berlaku di negara yang membolehkan kejayaan itu.

"Atlet, jurulatih, pengurus, persatuan sukan, dasar dan perundangan, korporat, keluarga, sekolah, komuniti dan media bekerjasama dan menghasilkan atlet atau pasukan bertaraf dunia.

"Dalam pertemuan saya dengan atlet kita, saya melihat api dalam diri mereka, keazaman, tanpa mengira sukan. Malaysia mempunyai percikan api dalam dirinya yang perlu dinyalakan. Negara kita mendambakan zaman keemasan, sekali lagi," ujarnya.