KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino di Doha, Qatar, malam tadi.

FIFA dalam kenyataannya berkata antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah berkaitan pelbagai projek pembangunan bola sepak di Malaysia, dan kejohanan Piala Dunia 2022 Qatar yang dijadualkan bermula pada 20 Nov dengan perlawanan antara negara tuan rumah dan Ecuador.

Kedua-dua pemimpin sukan bola sepak itu turut berbincang bagaimana Piala Dunia dapat digunakan sebagai pemangkin, bukan hanya untuk memberi inspirasi kepada sesebuah negara atau rantau, malah seluruh benua, dan akhirnya membantu meningkatkan daya saing global.

"FAM terlibat secara aktif dalam program FIFA Forward - mekanisme yang menyaksikan FIFA mengagihkan pendapatannya kepada 211 anggota persatuan bagi membantu projek pembangunan bola sepak - dan kedua-dua presiden turut meninjau pelbagai usaha yang dijalankan untuk pembangunan bola sepak sehingga kini.

"Ia termasuk sokongan berterusan futsal dan liga wanita di Malaysia, serta pengubahsuaian ibu pejabat dan pusat latihan FAM baru-baru ini (di Putrajaya) - termasuk pemasangan padang sesuai untuk semua cuaca, padang rumput dengan lampu limpah, serta naik taraf arena futsal," kata kenyataan itu.

FIFA berkata kedua-dua mereka turut berbincang mengenai kerja-kerja yang dilaksanakan oleh FIFA di seluruh Asia yang disokong oleh pejabat pembangunan serantaunya di Kuala Lumpur, dan usaha gigih yang dilaksanakan bersama dengan perkumpulan ASEAN.


Sementara itu Hamidin berkata beliau memberikan taklimat kepada Infantino mengenai pembangunan skuad Harimau Malaya dan pembangunan bola sepak dalam negara, selain berbincang mengenai potensi kolaborasi dua hala.

"Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Infantino yang sudi meluangkan masa untuk pertemuan berkenaan, dan sokongan berterusan beliau kepada perkembangan bola sepak Malaysia. Sukan bola sepak tidak akan membangun di mana-mana negara tanpa sokongan FIFA," katanya dalam kenyataan berasingan yang dikongsi FAM.

Terdahulu Hamidin turut membuat kunjungan hormat keatas Presiden Qatar Football Association (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani di Al-Bidda Tower, Doha.

Piala Dunia Qatar 2022, dijadualkan berlangsung dari 20 Nov hingga 18 Dis, dan ia menjadi kejohanan Piala Dunia buat julung kalinya di negara Arab, kedua di Asia selepas edisi Korea-Jepun pada tahun 2002.

-- BERNAMA