DOHA: Ribuan tempat duduk kosong seolah-olah menceritakan perjalanan penampilan sulung Qatar dalam Piala Dunia menentang Ecuador, pada Ahad.

Dalam sejarah 92 tahun acara terbesar bola sepak itu, pasukan tuan rumah tidak pernah kalah dalam perlawanan pembukaannya, namun Qatar tewas 0-2 kepada Ecuador.

Sebelum wisel penamat di Stadium Al Bayt ditiup, peminat Qatar yang berada dalam kalangan 67,372 penonton, telah mula menuju ke pintu keluar.

Suasana suram bermula sejurus selepas penyerang Ecuador, Enner Valencia menanduk masuk gol kedua ketika perlawanan baru memasuki minit ke-31.

Keadaan itu amat berbeza dengan suasana beberapa jam sebelum sepak mula.

Ribuan peminat tiba di Stesen Kereta Api Lusail, di mana laluan kereta api bawah tanah dibina khas untuk kejohanan ini dengan kos AS$36 bilion (RM164 bilion).

Anggota keselamatan di segenap sudut, menyedari bahawa mata dunia tertumpu kepada negara Teluk ini, yang menurut ramai pengkritik, tidak sepatutnya diberikan peluang menganjurkan Piala Dunia.

“Berada di sini satu pengalaman unik. Ia adalah Piala Dunia pertama diadakan di Timur Tengah, dan Ecuador menjadi lawan pertama untuk Qatar.

"Sejujurnya, semuanya agak pelik. Suasana agak sunyi, walaupun terdapat lebih ramai orang Ecuador daripada yang saya fikirkan. Tetapi bangunan ini kelihatan agak kosong," kata Carlos Alvear, seorang peminat dari Ecuador.

Bagi penyokong Qatar yang hanya memberikan namanya sebagai Abdallah, ia adalah detik yang mengujakan.

"Kami telah menunggu detik ini selama 12 tahun. Kami mempunyai keyakinan penuh, kami mempercayai pasukan kami.

"Kami mempunyai cita-cita tetapi ia realistik,” katanya yang yakin Qatar boleh menjadi naib juara kumpulan, di belakang Belanda.