KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berjaya naik dua anak tangga dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menduduki tempat ke-146 dunia, susulan prestasi membanggakan sejak kebelakangan ini.

Berdasarkan kemas kini terbaharu di laman sesawang FIFA, skuad kendalian Kim Pan Gon itu berjaya mengumpul 1062.32 mata untuk meningkat daripada posisi ke-148 dunia yang dihuni sejak 25 Ogos lepas.

Perkembangan positif itu susulan kejayaan skuad kebangsaan muncul naib juara saingan Piala Raja Thailand 2022, bulan lalu.

Skuad Harimau Malaya membuka tirai kejohanan di Chiang Mai itu dengan menewaskan Thailand 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1, sebelum akur dengan kekalahan 0-3 kepada Tajikistan dalam aksi final menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan.

Berdasarkan kedudukan ranking terbaharu FIFA, Malaysia kekal berada di kedudukan ke-26 dalam kalangan negara Asia dan keempat di Asia Tenggara selepas Vietnam (96), Thailand (111) dan Filipina (133).

Sementara itu, juara Piala Dunia lima kali, Brazil kekal di kedudukan teratas dunia diikuti Belgium, Argentina, Perancis dan England di tempat kelima. - BERNAMA