Rashid masih boleh menyumbang walaupun di luar BAM - KJ

Bernama
Mac 31, 2015 09:15 MYT
KJ: Rashid (gambar) masih boleh menyumbang walaupun di luar BAM - Gambar Fail
Rashid Sidek masih boleh menyumbang kepada pembangunan sukan badminton negara walaupun tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan menyertai Majlis Sukan Negara (MSN) atau mengemudi kelab swasta, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Katanya beliau pernah menawarkan peluang kepada jurulatih kebangsaan itu untuk berkhidmat di MSN dalam program pembangunan di peringkat remaja dan akar umbi sekiranya Rashid tidak mahu terus bersama BAM selepas 11 tahun bersama badan itu.
Khairy berkata beliau meminta Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk berbincang dengan Rashid bagi membolehkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu terus berbakti dalam arena itu dengan menyertai MSN.
Katanya Rashid, yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan BAM bersama jurulatih beregu wanita, Rosman Razak bagaimanapun difahamkan menerima tawaran daripada sebuah kelab swasta.
"Jika benar, ia adalah keputusan Rashid. Kena tunggu maklum balas yang diberi kepada Datuk Shapawi dan kalau beliau memutuskan masih mahu bersama kami dalam MSN, maka peluang itu masih ada dan terbuka untuknya," katanya.
Khairy berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis Anugerah Khidmat Cemerlang kementeriannya di sini hari ini, sebagai mengulas keputusan Rashid dan Rosman tidak menyambung kontrak dengan BAM berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata format pemilihan pemain untuk mewakili negara yang kini tidak terhad hanya kepada pemain di bawah naungan BAM memungkinkan bekas jagoan negara itu terus menyumbang walaupun mengemudi sebuah kelab swasta.
"Sekiranya kelab-kelab swasta ini mendapat jurulatih seperti Rashid maka ia akan menambah keberkesanan kejurulatihan di kelab berkenaan yang secara tidak langsung membantu pembangunan pemain bagi mewakili negara di peringkat antarabangsa," katanya.
Zulfadli Zulkifli dan Mohamad Arif Abdul Latiff adalah antara pemain bebas yang dipilih mewakili negara.
Mengenai dakwaan pelantikan Morten Frost Hansen sebagai Pengarah Teknikal BAM menyumbang kepada tindakan beberapa pemain dan jurulatih meninggalkan BAM, Khairy berkata setiap perubahan memerlukan masa untuk penyesuaian dan beliau perlu diberi ruang dan sokongan untuk melaksanakan perancangan yang diatur.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata kementerian dalam proses rundingan bagi memuktamadkan pelantikan Pengarah Prestasi Tinggi Universiti California, Keith Power, sebagai Pengarah Teknikal Berprestasi Tinggi Program Podium.
"Berdasarkan pengalaman, pendekatan dan cadangan yang diberikan, Keith berada dalam senarai teratas yang layak dipilih kerana beliau antara calon yang dilihat paling memahami peranan yang diperlukan daripada seorang pengarah teknikal berprestasi tinggi," katanya.
#badminton #BAM #KHAIRY #MSN #Rashid