Real Madrid menangi Liga Juara-Juara selepas tewaskan Atletico Madrid

Haider Yutim
Mei 28, 2016 23:33 MYT
Kapten pasukan Real Madrid, Sergio Ramos meraikan gol sumbangannya dalam perlawanan final dengan Atletico Madrid di Stadium San Siro, MIlan. - Foto AFP / OLIVIER MORIN
Real Madrid berjaya memenangi saingan Liga Juara-Juara Eropah 2015/2016 apabila menewaskan Atletico Madrid menerusi sepakan penalti, 5-3 setelah terikat 1-1 selepas masa tambahan.
Perlawanan aksi final di antara dua musuh setempat itu berlangsung di Stadium San Siro, Milan di Itali, awal pagi tadi.
Kawalan permainan dilihat agak seimbang di antara kedua-dua pasukan, namun nasib tidak menyebelahi Atletico apabila Real menjaringkan gol pertama pada minit ke-15 menerusi sentuhan dari kapten pasukan, Sergio Ramos.
Bagaimanapun, jaringan itu dilihat sebagai kontroversi kerana Ramos seolah-olah berada pada kedudukan off-side pada ketika itu.
Separuh masa pertama berakhir dengan Real mendahului permainan, 1-0.
Namun, pada separuh masa kedua, ia menyaksikan kebangkitan kepada Atletico apabila mereka berjaya menyumbat gol penyamaan, menjadikan kedudukan seri 1-1.
Gol tersebut disumbangkan pemain sayap, Yannick Carrasco pada minit ke-79 selepas mendapat cross daripada Juanfran.
Kedua-dua pasukan berjaya mempertahankan benteng masing-masing sehingga minit ke-90 untuk mengekalkan keputusan seri tersebut.
Mereka kini terpaksa bermain pada masa tambahan untuk memecahkan kedudukan.
Bagaimanapun, masa tambahan tersebut tidak dapat menghasilkan sebarang gol bagi kedua-dua pasukan.
Perlawanan dibawa ke sepakan penalti di mana Real berjaya menjaringkan lima gol, manakala Atletico menjaringkan tiga gol.
Gol-gol Real dijaringkan oleh Lucas Vazquez, Marcelo, Bale, Sergio Ramos dan Cristiano Ronaldo.
Manakala, gol-gol Atletico pula dijaringkan oleh Antoine Griezmann, Gabi dan Saul.
Keputusan akhir perlawanan, Real Madrid 1(5) - 1(3) Atletico Madrid.
#Atletico Madrid #Cristiano Ronaldo #Liga Juara-Juara #Real Madrid