KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky dilihat lebih sesuai berada di lapangan melatih pemain dan bukannya menerima laporan daripada jurulatih, tegas bekas pemain kebangsaan Roslin Hashim.

Roslin, yang 'terkejut' dengan pengumuman penstrukturan semula kejurulatihan oleh BAM, menekankan bahawa adalah satu kerugian buat badan sukan itu sekiranya Rexy, yang kembali ke persatuan itu sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan pada 1 Disember, memegang jawatan baharu berkenaan.

Ini, katanya kerana pakar beregu dari Indonesia itu merupakan jurulatih yang berwibawa apabila berjaya menaikkan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sehingga memenangi emas Sukan Asia 2006.

Rexy, ketika bergelar ketua jurulatih Thailand, turut meningkatkan prestasi skuad itu termasuk membimbing pasukan Piala Uber untuk mara ke final buat kali pertama pada 2018.

"Apabila dia datang ke Malaysia fungsi dia sebagai jurulatih seperti tiada, kita mahu kepakaran dia untuk melatih pemain, cuma sekarang ini posisinya adalah terima laporan daripada jurulatih.

"Ini bermaksud beliau berkemungkinan tiada di lapangan untuk melatih pemain kita dan berdasarkan pemahaman saya, Rexy seolah-olah tiada fungsi melatih kerana semua jurulatih di bawah dia... kalau begitu, membazir sahajalah bawa Rexy masuk ke BAM," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selasa lepas, BAM mengumumkan struktur baharu kejurulatihan yang menyaksikan Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann memikul tanggungjawab selaku Pengarah Jabatan Perseorangan, manakala Rexy dilantik sebagai Pengarah Jabatan Beregu.

Roslin, bekas juara Sukan SEA 2001, turut mempersoalkan tindakan BAM membuat penstrukturan semula itu kerana menurutnya ia pasti menimbulkan kecelaruan, selain berpendapat tiada keperluan memecahkan jawatan semata-mata untuk menilai prestasi pemain dalam dua kategori berbeza.

"Apa sebenarnya yang BAM cuba buat ini? Bagi saya, Choong Hann sahaja sudah cukup untuk menilai kesemua pemain seperti dilakukannya sebelum ini," tambahnya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM Datuk Kenny Goh, pendekatan baharu itu adalah bagi membolehkan pengarah kejurulatihan menumpukan kepada jabatan masing-masing dan apabila timbul masalah mereka boleh melihat secara terus untuk penyelesaian lebih pantas.

Katanya terlalu banyak lapisan yang perlu dilalui oleh lima jabatan di bawah badan itu -- perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran -- iaitu setiap jabatan mempunyai ketua jurulatih dan jurulatih yang melapor kepada Choong Hann.

-- BERNAMA