GOL tunggal jaringan Nicolo Zaniolo membolehkan AS Roma merangkul kejuaraan Eropah utama pertama dalam tempoh lebih 60 tahun selepas menang 1-0 ke atas Feyenoord Rotterdam, dalam perlawanan akhir Liga Konferensi di Tirana, Albania.

Kemenangan itu juga sekali gus melengkapkan koleksi trofi kejuaraan Eropah unik pengendali AS Roma, Jose Mourinho yang sebelum ini memenangi Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala UEFA bersama empat kelab berbeza di Porto, Inter Milan dan Manchester United sebelum ini.

Kejuaraan kelab Eropah tahap ketiga itu juga merupakan trofi pertama kelab Serie A Itali tersebut dalam tempoh 14 tahun dan juga piala pertama Mourinho sejak bersama AS Roma.

Jaringan Zaniolo pada minit ke-32 itu juga membolehkan pemain berusia 22 tahun itu menjadi pemain Itali pertama yang menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Eropah sejak Filippo Inzaghi semasa menentang Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara 2007.

"Kami telah membuktikan semangat berpasukan sebenar dalam perlawanan ini, sekarang masa untuk para pemain meraikannya sebelum memulakan semuanya semula, yang pastinya sentiasa sukar selepas kemenangan hebat.

"Semalam saya tidak pernah membayangkan pada usia 25 tahun untuk menjulang kejuaraan ini dengan jersi Roma dan lilitan kapten. Ia adalah saat yang indah," kata kapten Roma, Lorenzo Pellegrini.


*Berita asal di Sinar Harian