HARUS belum pun reda keriuhan daripada dua jaringan Cristiano Ronaldo di Old Trafford apabila Romelu Lukaku memilih kesempatan pada hari yang sama untuk turut menyerlahkan kejaguhan.

Berselang hanya beberapa jam di antara mereka, Lukaku menyumbat dua kali untuk Chelsea ketika mereka membenam cabaran Aston Villa 3-0 at Stamford Bridge, dengan The Blues dan The Red Devils kini mengisi tangga pertama dan kedua yang dipisahkan oleh perbezaan jaringan.

Lukaku, pembelian bernilai £97.5 juta (RM558 juta) yang tampil semula buat julung kali di Stamford Bridge, segera mengundang perbandingan, dengan penyokong Chelsea menganggap tiada apa-apa yang istimewa daripada gol-gol Ronaldo itu.

“Jika Ronaldo boleh menyumbat dua sekembalinya dia, begitu juga Lukaku. Tiada apa-apa yang istimewa mengenai Ronaldo,” ciap ‘Special Someone’ melalui Twitter.

“King Luka. Anda dapat Ronaldo, kami dapat Lukaku!!!,” cetus Barnabie sambil Andywps04 menokok: “Ronaldo jaringkan 2, Lukaku jaringkan 2.”

Babak-babak awal persaingan di antara kedua-duanya harus menjurus kepada perebutan yang berlanjutan ke musim ketiga berturut-turut untuk Ronaldo dan Lukaku saling berebutkan anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2021-22.

Bermula pada 2019, Ronaldo yang unggul dengan 31 gol dalam saingan Serie A ketika Juventus ditabalkan juara buat musim kesembilan berturut-turut.

Musim lalu menyaksikan Lukaku yang gemilang bergelar juara bersama Inter Milan di bawah kendalian Antonio Conte tapi tetap gagal memintas Ronaldo untuk kedudukan penjaring terbanyak dibezakan lima gol (29-24).

Kini, pentas persaingan di antara mereka berpindah ke EPL untuk melengkapkan trilogi berkenaan.

Lukaku, kini di bawah kendalian Thomas Tuchel, membuka jaringan seawal perlawanan pertamanya dalam jersi Chelsea semula ketika menang 2-0 di Stadium Emirates, 22 Ogos lalu.

Ronaldo, yang membuat penampilan sulung di bawah pengawasan Ole Gunnar Solskjaer, tidak berlengah untuk memintas dengan dua jaringan membolosi pintu gol Newcastle United semalam sebelum Lukaku sendiri bangkit menyahut cabaran itu dengan menjadikan Aston Villa sebagai mangsa.

Ini bermakna Lukaku mendahului pesaingnya itu tiga gol berbalas dua yang memungkinkan perlumbaan peribadi terhangat di Eropah.

Tuchel sendiri ketika ditanya penilaiannya terhadap prestasi terkini Lukaku tidak ragu-ragu terhadap impak yang dibawanya kepada Chelsea.

“Dia penuh keyakinan dan amat peka dengan apa yang ingin dilakukannya. Dia sangat berkeyakinan untuk membuat jaringan,” katanya seperti dipetik Sky Sports.

Anda pula bagaimana – Ronaldo atau Lukaku yang jadi pilihan?