KUALA LUMPUR : Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia seperti menerima suntikan semangat baharu apabila beberapa permintaannya bakal dipertimbang Jawatankuasa Road to Gold (RTG).

Perkara itu juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengembalikan prestasi cemerlang Zii Jia menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua kontinjen negara, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perkara itu akan dibincangkan menerusi mesyuarat Jawatankuasa RTG.

Antara permintaan yang dibangkitkan termasuklah isu pembiayaan bagi menyertai kejohanan di luar negara.

"Itu juga (kos pembiayaan) antara yang dibincangkan. Dia (Zii Jia) ini sama seperti pemain lain juga, memang kita sudah bincang sebelum ini.

"Kita akan selaras dalam mesyuarat RTG mengenai permintaan mereka semua. Saya ingat permintaan ini semua memadai untuk memberi sokongan kepada mereka.

"Ini semua memang antara tujuan utama RTG yang diilhamkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk kita lakukan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Zii Jia di sini pada Rabu.

Daripada 11 wakil badminton yang disenaraikan dalam program RTG, Zii Jia antara yang bergerak secara profesional untuk berentap pada acara kejohanan itu.