MALANG: Sejumlah 17 kanak-kanak antara 125 mangsa yang terkorban dalam tragedi yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur pada Sabtu, kata pihak berkuasa.

Siasatan terperinci kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca insiden tersebut, yang merupakan kejadian kedua terburuk dalam sejarah bola sepak dunia.

Keganasan sering dikaitkan dengan perlawanan bola sepak di Indonesia, terutamanya di ibu negara Jakarta, namun kejadian di bandar kecil di Jawa Timur ini mengetengahkan lagi masalah itu.

Menurut kakak kepada Ahmad Cahyo, 15 tahun, dan Muhammed Farel, 14 tahun, yang terkorban dalam tragedi tersebut, ini kali pertama adik-adiknya menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium itu.

"Kami sekeluarga tidak sangka perkara ini akan berlaku.

"Adik-adik saya sangat suka bola sepak namun tidak pernah sebelum ini melihat Arema beraksi di Stadium Kanjuruhan, ini kali pertama buat mereka," kata Endah Wahyuni.

Menurut laporan Kementerian Memperkasa Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak, kedua-dua mangsa itu antara 17 kanak-kanak yang terkorban dalam tragedi berkenaan, memetik laporan agensi berita Antara.

"17 kanak-kanak meninggal dunia manakala tujuh lagi sedang menerima rawatan. Ada kemungkinan angka korban akan meningkat," kata pegawai kementerian, Nahar.

Akhar tempatan Koran Tempo memaparkan muka hadapan hitam pada Isnin dengan senarai nama mangsa dalam dakwat merah.

Terdahulu, Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Nico Afinta dilapor berkata, kejadian pada Sabtu malam tercetus apabila penyokong Arema meluru ke dalam padang selepas pasukan mereka tewas 2-3 kepada Persebaya Surabaya.

Keadaan itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi meredakan ketegangan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Rusuhan Stadium Kanjuruhan kejadian kedua terburuk dalam sejarah dunia

Insiden itu disifatkan sebagai salah satu bencana terburuk dalam arena bola sepak dunia selepas di Peru yang mengorbankan 300 individu dalam kejadian lebih 50 tahun lalu.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam satu kenyataan berkata kejadian itu merupakan hari suram buat semua yang terlibat dalam arena bola sepak dan satu tragedi yang tidak dapat dibayangkan.

Tragedi Bola Sepak | Presiden FIFA sedih insiden di Stadium Kanjuruhan

Pihak berkuasa Indonesia turut digesa menyiasat penggunaan gas pemedih mata dalam kejadian tersebut.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid berkata, gas pemedih mata tidak boleh dilepaskan dalam kawasan tertutup mengikut garis panduan stadium FIFA.

Rusuhan Stadium | FIFA larang guna pemedih mata dalam stadium