Penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali masih optimis untuk melakar kejayaan dalam membawa pasukan Malaysia ke pentas final Piala AFF 2012 menentang pasukan Thailand pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok, Khamis nanti.

Biarpun berkemungkinan tidak akan diletakkan dalam kesebelasan utama, itu tidak melunturkan semangatnya untuk sekurang-kurangnya meledak jaringan pada perlawanan itu.

“Sebagai pemain Harimau Malaya, saya tidak kisah siapa yang bermain asalkan pasukan nerjaya mendapat keputusan yang baik dan kita pasti berkongsi kejayaan dan kemenangan itu bersama. Saya juga bersedia samada untuk diturunkan atau hanya duduk di bangku simpanan,” kata Safee.

Dalam masa yang sama, Safee turut menegaskan bahawa momentum pemain-pemain negara kini dalam kini dalam keadaan terbaik dan mereka sudah bersedia untuk aksi yang lebih baik.

“Nampaknya mereka (Persekutuan Bolasepak Thailand) telah memberi layanan yang kurang baik kepada kita disini tetapi saya rasa itu tidak akan dapat melemahkan semangat kita malah ianya menaikkan dan membakar lagi semangat pemain-pemain dengan lebih banyak untuk beraksi dengan lebih cemerlang,” tegas Safee.

Safee hanya beraksi sebagai pemain gantian ketika aksi separuh akhir pertama, minggu lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berkesudahan seri 1-1

Pada perlawanan itu, jurulatih negara, Datuk K.Rajagobal terpaksa melakukan perubahan dalam formasi permainannya dengan merehatkan Safee yang masih lagi belum sepenuhnya pulih dari kecederaan.