MEDIA-MEDIA antarabangsa melaporkan bahawa Barcelona merancang untuk mengambil tindakan undang-undang dalam memastikan Atletico Madrid membeli Antoine Griezmann daripada mereka dengan tanda harga €40 juta (RM182.66 juta).

Pemain berusia 31 tahun itu kembali ke pangkuan Atletico secara pinjaman selama dua tahun pada 2021 dan kedua-dua kelab itu kini sedang bertelagah mengenai klausa pembelian pemain itu secara tetap.

Menurut sumber, Barca percaya Griezman telah beraksi selama lebih 45 minit dalam 30 daripada 37 perlawanannya bersama Atletico sepanjang musim lalu dan ia bermakna, Atletico perlu menandatangani pemain itu secara tetap dengan harga yang telah termaktub.

Bagaimanapun, Atletico mendakwa Griezmann perlu bermain lebih 45 minit sebanyak 50 peratus daripada perlawanannya bersama kelab itu bagi kedua-dua musim sepanjang tempoh pinjamannya untuk klausa berkenaan diaktifkan.

Griezmann, dalam pada itu, hanya diturunkan sebagai pemain gantian selepas minit ke-60 sepanjang lima perlawanan musim ini.

Menurut laporan, pasukan undang-undang Barca telah menyemak secara terperinci kontrak berkenaan dan yakin mereka di pihak yang benar tetapi pendirian Atletico juga tidak berganjak. -- Stadium Astro