Salmon rangkul kemenangan ke-7 Moto3 di Sepang

Bernama
Oktober 13, 2013 10:47 MYT
Pelumba Sepanyol Luis Salmon dari pasukan Red Bull KTM Ajo menjuarai perlumbaan Moto3 Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Sepang hari ini.
Ini merupakan kemenangan ketujuh beliau musim ini pada Kejohanan Motosikal Dunia.
Salmon, yang bermula pada petak pertama memenangi perlumbaan selepas mencatat masa 40 minit 42.441 saat dalam perlumbaan 18 pusingan itu.
Rakan senegara Salmon iaitu Alex Rins dari pasukan Estrella Galicia 0,0 menduduki tempat kedua selepas mencatat 40:42.510s.
Pelumba Portugal Miguel Oliveira di tempat ketiga dengan catatan masa 40:42.849s.
Selepas kemenangan hari ini, Salmon terus menguasai senarai pendahulu dengan mengumpul mata berjumlah 284 berbaki tiga perlumbaan, di depan Rins dengan kelebihan 14 mata.
Maverick Vinales dari Team Calvo di tempat ketiga dengan 258 mata.
Bagaimanapun, rakan sepasukan iaitu Muhammad Zulfahmi Khairuddin dari Malaysia kecewa kerana tidak dapat beraksi di gelanggang sendiri, yang menyaksikan beliau menduduki tempat kedua tahun lepas, berikutan kecederaan di pergelangan tangan selepas terlibat dalam kemalangan di Aragon, Sepanyol.
Lapan gagal menamatkan perlumbaan termasuk pelumba Itali Niccolo Antonelli dari pasukan GO&FUN Gresini Moto3 dan pelumba Perancis Alan Techer dari pasukan CIP Moto3, yang dibawa ke pusat perubatan selepas mengalami keretakan di lutut kiri.
Dua pelumba 'wild card' Malaysia dari pasukan Touchline-SIC-AJO iaitu Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik turut tidak layak memyertai perlumbaan itu.
#Luis Salmon #Malaysian Grand Prix #Moto3