Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, mengakui kecewa dengan kekalahan mengejut kepada Watford pada Ahad, namun menegaskan dia enggan panik dengan keputusan itu.

Dua gol dalam tempoh tujuh minit memberikan kemenangan 3-1 buat The Hornets di Vicarage Road, sekali gus menghadiahkan kekalahan ketiga buat United.

Mourinho berdepan laluan berliku apabila tewas kepada Manchester City, Feyenoord dan Watford dan pengendali kelahiran Portugal itu mengakui kekalahan tersebut akan memberi impak negatif kepada anak buahnya.

Bagaimanapun, bekas pengendali Chelsea itu menekankan pentingnya melihat gambaran yang lebih besar dan menuntut pemainnya melihat dari sudut positif.

"Saya sedih -- sudah tentu saya kecewa," katanya kepada MUTV. "Saya sentiasa bimbang apabila kami tidak mendapat keputusan yang diharapkan.

"Tetapi seperti mana yang saya jelaskan kepada pemain, hanya ada satu cara -- esok (Isnin) kami akan mengadakan latihan pada jam 10.30 pagi. Kami perlu berada di situ dan bekerja keras tetapi pemain perlu menampakkan sikap positif.

"Sebagai contoh, Ashley Young, dia mempamerkan sikap yang mantap dan kesungguhan yang tinggi.

"Kami perlukan individu yang positif supaya dapat memberi impak yang berkesan kepada pemain lain -- sebagai manusia biasa -- yang akan merasai tekanan ekoran kekalahan ini."

Sementara itu, Mourinho berpendapat United tidak layak untuk tewas.

"Dua gol Watford hadir ketika pemain kami mula mempamerkan aksi berkesan. Kami mula mencipta peluang -- dengan gol pertama, dan gol yang hampir dijaringakan Zlatan Ibrahimovic.

"Namun, kami dikejutkan dengan serangan pantas Watford meskipun pada babak kedua, David De Gea langsung tidak berdepan sebarang ancaman."

Ini kali pertama Mourinho berdepan kekalahan tiga kali berturut-turut sejak memulakan kerjayanya sebagai pengendali FC Porto pada tahun 2001-02.