KUALA LUMPUR: Selangor FC menamatkan kemarau tiga perlawanan Liga Super tanpa kemenangan selepas mencipta kejayaan 2-0 ke atas Penang FC yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Dua penyerang gantian masing-masing Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Muhamad Syahir Bashah yang dibawa masuk pada babak kedua permainan muncul wira pasukan apabila mencetak nama sebagai penjaring bagi memastikan skuad Gergasi Merah meraih tiga mata berharga.

Kemenangan itu terus menyalakan peluang Selangor untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan teratas apabila melonjak ke tangga kelima dengan 15 mata selepas 10 perlawanan.

Bagaimanapun, pada aksi menentang skuad Harimau Kumbang itu, Selangor dibimbing Michael Feichtenbeiner buntu mencipta jaringan sehingga di babak kedua selepas pemain pertahanan lawan Ahmad Sukri Ab Hamid dilayangkan kad merah susulan menerima kad kuning kedua pada minit ke-68.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya Selangor yang berjaya memecah kebuntuan menerusi Muhammad Shahrel pada minit ke-73 sebelum rembatan Muhamad Syahir dari luar kotak penalti enam minit kemudian mengesahkan kemenangan keempat musim ini.

Sebagai rekod, Selangor tewas 1-5 kepada pendahulu liga Johor Darul Ta'zim (JDT) dan 0-2 di tangan Melaka United, selain seri 1-1 menentang Sabah dalam tiga perlawanan terakhir.

JDT kini di persada liga dengan mengumpul 26 mata, diikuti Sabah FC kedua (22), Negeri Sembilan FC (20) dan Terengganu FC di tempat keempat dengan mengutip keseluruhan 16 mata manakala Penang kekal di kedudukan tercorot meraih keseluruhan tujuh mata.

Dalam pada itu, Petaling Jaya (PJ) City FC terus kempunan meraih kemenangan selepas empat perlawanan apabila seri tanpa jaringan ketika bertemu juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.

Sementara itu, gol penyamaan pemain gantian PDRM FC, Mohamad Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-86 memusnahkan harapan Kelantan United FC untuk menamatkan kemarau kemenangan selepas seri 1-1 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Pasukan tuan rumah yang memburu kemenangan pertama dalam lima aksi terakhir terlebih dahulu di depan menerusi sentuhan Mohamad Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-59.

Keputusan sama di Stadium Perak, Ipoh apabila Perak FC berjaya mengikat pendahulu Terengganu FC (TFC) II tanpa jaringan sekali gus akhirnya mengumpul satu mata selepas dikenakan hukuman pemotongan sembilan mata, April lepas, susulan isu tunggakan gaji.

BACA: Perak FC, TFC II kongsi satu mata di Ipoh

-- BERNAMA