Seluruh England: Pearly-Thinaah mara ke suku akhir

Bernama
Mac 17, 2022 16:15 MYT
Ini adalah suku akhir kedua gandingan negara itu selepas melakukannya pada penampilan sulung mereka tahun lepas. - Gambar fail/ BAM
KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England 2022 selepas menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi hari ini.
Ini adalah suku akhir kedua gandingan negara itu selepas melakukannya pada penampilan sulung mereka tahun lepas.
Gandingan di ranking ke-15 dunia itu bermula agak goyah apabila tewas di set pertama 18-21 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung di Arena Birmingham.
Bagaimanapun, mereka bangkit menguasai set kedua dengan menang 21-19 untuk mengheret ke perlawanan penentuan sebelum menamatkan 75 minit perlawanan dengan menang set ketiga 21-16.
Di atas kertas, Pearly-Thinaah sepatutnya boleh mara ke separuh akhir memandangkan mereka akan berdepan pasangan ranking ke-64 dunia Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan yang menewaskan beregu Thailand Supissara Paewsampran-Puttita Supajirakul 19-21, 21-13, 21-13.
Sementara itu, nasib berbeza buat beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila dikejutkan oleh pasangan Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.
Pilihan kelapan kejohanan yang menduduki ranking ke-11 dunia itu tewas 22-24, 21-13, 17-21 kepada pasangan di ranking ke-28.
-- BERNAMA
#Seluruh England #All England 2022 #Pearly Tan #M Thinaah