KUALA LUMPUR: Pasukan ragbi tujuh sebelah (7s) menyertai kejohanan ragbi tempatan Sixways 7s sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel di Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Sixways, Worcester, England pada Sabtu ini, menyaksikan skuad Bunga Raya berada dalam kumpulan E1, bakal berdepan pasukan Midlands Mobs, Prostate Cymru, Gogs Raiders dan Jagerbombers International.

Skuad negara yang berlepas awal ke Birmingham bagi menyesuaikan diri juga akan menentang China pada 20 Julai dalam aksi persahabatan di Marlow Rugby Club.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Saizal Hafifi berkata kejohanan berkenaan menjadi ujian penting buat anak buahnya sebelum menghadapi temasya Sukan Komanwel.

"Kita tidak meletakkan sasaran khusus di kejohanan ini, sebaliknya kita ingin melihat keserasian antara pemain, dalam masa sama menilai prestasi mereka secara individu sebelum membuat pilihan terakhir skuad ke Birmingham.

"Pemain-pemain juga harus menyesuaikan diri bermain dalam cuaca sejuk (bawah 25 darjah celsius) di sini," katanya ketika dihubungi di England.

Beliau berkata aksi pemanas badan menentang kelab-kelab tempatan itu juga bagi menguji ketahanan fizikal skuad negara apabila berdepan pemain yang mempunyai fizikal badan lebih besar berbanding pemain Asia.

Pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, skuad negara tersingkir di peringkat kumpulan apabila menduduki tempat tercorot Kumpulan A selepas dibelasah pasukan gergasi seperti Papua New Guinea (31-5), Scotland (41-0) dan Afrika Selatan (43-0).

-- BERNAMA