SEPANG: Persembahan menakjubkan pasukan Maghribi di pentas Piala Dunia 2022 baru-baru ini menjadi inspirasi buat skuad sukan elektronik, Haq untuk mencipta kejutan pada Kejuaraan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M4, bermula 1 hingga 15 Jan ini.

Jurulatih pasukan, Khairul Azman Mohd Sharif berkata biarpun berdepan tugas sukar menyaingi nama-nama besar yang turut membuat penampilan di pentas berprestij itu, Haq mempunyai keunikan tersendiri bagi memberi cabaran sengit kepada setiap pasukan bertanding.

"Pasukan Haq mempunyai identiti tersendiri iaitu kami guna 'hero' (watak) lain daripada orang lain dan mempunyai taktikal yang tiada orang lain di Malaysia buat, itu adalah keunikan kami," katanya.

Khairul Azman berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia yang merupakan tuan rumah kejohanan itu.

Bagi saingan kumpulan, pasukan Haq diundi bersama S11 Gaming Argentina, RRQ Akira dan The Valley dengan ketiga-tiga pasukan itu merupakan juara di Argentina, Brazil dan Amerika Utara.

Sementara itu, pengasas pasukan Haq, Mohammad Aimanulhaq Zaharudin berkata biarpun terdapat pencabar yang memandang rendah kemampuan mereka, ia tidak sesekali mematahkan semangat pasukan itu untuk menampilkan aksi cemerlang.

"Sejujurnya tahap pasukan Haq masih di peringkat permulaan, justeru dapat bertanding di kejohanan dunia kami anggap ia satu pengalaman yang diperlukan untuk ke peringkat seterusnya," katanya.

Selain Haq, satu lagi pasukan yang mewakili Malaysia dalam kejohanan itu ialah Todak, yang merupakan penyertaan keempat berturut-turut pasukan itu pada saingan tersebut.

Sebanyak 16 pasukan dari seluruh dunia bakal berentap merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak US$800,000.

-- BERNAMA