KUALA LUMPUR: Malaysia mara ke pentas separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2022 di Kaherah, namun tugas berat menanti skuad wanita negara untuk menentang pasukan tuan rumah, Mesir.

Pada perlawanan peringkat suku akhir malam tadi, pasukan Malaysia mempamerkan persembahan terpuji untuk menumbangkan juara Asia Hong Kong 3-0, sekali gus membalas dendam atas kekalahan 2-1 dalam pertemuan akhir peringkat Asia bulan lepas.

Pemain nombor 33 dunia Aifa Azman membuka langkah kanan dan jalan kemenangan buat Malaysia dengan menewaskan Chan Sin Yuk 11-5, 11-5, 8-11, 12-10, sebelum Chan Yiwen meneruskan kecemerlangan dengan menundukkan Tong Tsz Wing 11-1, 7-11, 11-0, 10-12, 11-6 selepas pertempuran selama 42 minit.

Pada perlawanan ketiga, pemain nombor 24 dunia Rachel Arnold membelasah Lee Ka Yi 11-6, 11-6, 11-7 untuk mengesahkan kemenangan buat Malaysia.

"Ia adalah Pasukan Dunia pertama saya jadi rasanya luar biasa, saya tidak sangka untuk pergi sejauh ini.

"Kami hanya bermain selangkah demi selangkah, kalah menentang Perancis semalam, dan selepas itu, kami mengadakan perbincangan dan kami berikrar untuk hanya bermain di gelangang demi pasukan, dan berikan yang terbaik," kata Yiwen dalam laman rasmi kejohanan selepas perlawanan itu.

Ketua Jurulatih Kebangsaan Ajaz Azmat berkata selepas kekalahan 2-1 kepada Perancis pada peringkat akhir kumpulan pada Selasa, mereka bersemangat untuk bangkit, selain tekad membalas dendam terhadap Hong Kong.

"Mereka bermain dengan sangat baik, dan kami sangat gembira, mereka penuh dengan keyakinan diri selepas tewas kepada Perancis, tetapi mereka merasakan boleh pergi lebih jauh dalam perlawanan itu. Ia adalah berita yang sangat baik untuk kami.

"Kami sangat berbangga dengan skuad wanita kita, semuanya, jurulatih, individu yang bekerja dengan kami, terutamanya selepas tempoh suram COVID-19 apabila kami tidak dibenarkan bermain sebarang pertandingan.

"Jadi kami menganjurkan latihan gelembung berpasukan, ia adalah masa yang sukar untuk kami, tetapi kami cuba memastikan pemain bermotivasi, dan sangat gembira kerana akhirnya ia membuahkan hasil," katanya.

Sementara itu, juara bertahan Mesir, dibarisi tiga pemain terbaik dunia, menyingkirkan Scotland 3-0.

Pemain nombor satu dunia, Nouran Gohar menewaskan Georgia Adderley 11-6, 11-4, 11-3, pemain nombor tiga dunia Hania El Hammamy membelasah Katriona Allen 11-2, 11-3, 11-2 sebelum pemain nombor dua dunia Nour El Sherbini melengkapkan kejuaraan dengan kemenangan 11-3, 11-3 menentang Alison Thomson.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan dwitahunan itu ialah apabila Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Zulhijjah Azan menduduki tempat kedua pada edisi 2014.

-- BERNAMA