KUALA LUMPUR: Pemain Mesir Mazen Hesham bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menundukkan rakan senegara dan pilihan pertama kejohanan Tarek Momen 2-11, 8-11, 11-6, 11-8, 11-5 untuk menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2022 semalam.

Mazen yang berada di ranking kesembilan dunia terpaksa bertarung selama 45 minit untuk menewaskan Tarek yang merupakan pemain nombor tujuh dunia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil di sini.

Pemain berusia 28 tahun itu yang merupakan pilihan ketiga kejohanan berkata kemenangannya itu merupakan hasil kerja keras.

"Hari ini merupakan hari yang paling menggembirakan buat saya, selepas muncul juara. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, jurulatih, sepupu dan setiap orang yang rapat dengan saya yang menyokong saya melalui saat yang mencabar ini," kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir selaku Penaung Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM).

Sementara itu, wakil Belgium Nele Gilis yang muncul juara perseorangan wanita Terbuka Malaysia buat julung kali tidak dapat menahan emosi dengan air mata kegembiraannya mengalir selepas segala apa yang dirancangnya menjadi.

Pemain pilihan kedua kejohanan itu menewaskan pilihan utama dari Amerika Syarikat, Olivia Fiechter 5-11, 11-5, 13-11, 11-9 yang berlangsung selama 59 minit.

"Kemenangan di Malaysia buat kali pertama amat bermakna bagi saya kerana ia sememangnya perlawanan yang mencabar. Kami pernah bertemu di Terbuka Singapura 2022 minggu lepas, jadi saya rasa saya sudah menemui rentak sendiri apabila berhadapan beliau hari ini.

"Kemenangan ini adalah untuk keluarga saya kerana mereka tiada di sini begitu juga rakan-rakan, jurulatih dan semua pasukan saya yang bekerja keras untuk membantu saya meningkatkan mutu permainan kerana saya percaya tanpa mereka, memenangi perlawanan ini adalah mustahil," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Kejohanan Terbuka Malaysia menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$52,500 (RM235,200) untuk kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

-- BERNAMA