KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai pengganti pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari terjawab apabila Aifa Azman terpilih untuk digandingkan bersama Rachel Arnold dalam acara beregu wanita pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, bulan depan.

Perkembangan itu disahkan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S. Maniam yang turut menjelaskan rombakan pemain terpaksa dibuat tanpa melibatkan penambahan atlet baharu bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa pada temasya sukan itu.

"Rachel Arnold yang sepatutnya bergandingan dengan Sivasangari kini akan berpasangan dengan Aifa Azman dalam acara beregu wanita.

"Syafiq Kamal yang akan bergandingan dengan Aifa Azman dalam beregu campuran kini akan bergandingan dengan Ong Sai Hung dalam beregu lelaki. Syafiq akan terus bermain dalam acara perseorangan," katanya dalam kenyataan.

Sivasangari, yang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang di Birmingham bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, dilapor mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada 3.46 pagi, Ahad lepas.

Pemain berusia 23 tahun itu dipercayai adalah penumpang kereta Proton Saga BLM yang terbakar 90 peratus selepas melanggar sebuah lori muatan satu tan sebelum terbabas dan terbakar.

Dalam pada itu, ketika dihubungi Bernama mengenai sasaran emas acara beregu wanita di Birmingham, Maniam berkata: "(Sasaran) Tidak kekal sebab sukar tanpa Sivasangari.

"Jadi kami berharap sekurang-kurangnya mendapat pingat tanpa mengira warna," katanya.

Bagaimanapun, beliau optimis atlet skuasy negara mampu mempamerkan aksi cemerlang di gelanggang nanti, apabila mempunyai lebih kurang sebulan untuk melakukan latihan.

Sukan Komanwel Birmingham dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos.



Berikut senarai baharu atlet skuasy ke Birmingham:

-------------------------

Perseorangan Lelaki

Ng Eain Yow

Ivan Yuen

Mohammad Syafiq Mohd Kamal

----------------------

Persorangan Wanita

Aifa Azman

Rachel Arnold

Chan Yiwen

-----------------------

Beregu Lelaki

Ng Eain Yow-Ivan Yuen

Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Ong Sai Hung

-----------------------

Beregu Wanita

Aifa Azman-Rachel Arnold

Chang Yiwen-Noor Ainaa Aimani Ampandi

-------------------

Beregu Campuran

Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar-Noor Ainaa Aimani Ampandi

-- BERNAMA