GIMNAS muda negara Ng Joe Ee mencipta kejutan apabila meraih dua pingat emas, sekali gus menyumbang emas kelima dan keenam negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, hari ini.

Kejayaan Joe Ee itu bermakna kontinjen negara sudah menepati sasaran enam pingat emas yang ditetapkan bagi temasya berkenaan, sebelum ini.

Bernama melaporkan, meskipun pertama kali beraksi pada temasya itu, dia berjaya merangkul emas pertama melaui disiplin bola.

Gerakannya yang anggun dan cekap menangkap bola di Arena Birmingham memikat barisan pengadil bagi merekodkan 29.700 mata, sekali gus mencapai sasaran satu pingat emas bagi kem gimrama.

Suzanna Shahbazian dari Kanada yang mencatatkan 29.050 mata terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Anna Sokolova dari Cyprus membawa pulang gangsa dengan 28.800 mata.

Catatan mata gimnas berusia 16 tahun itu dalam final hari ini ternyata lebih tinggi daripada markah yang diperolehnya ketika pusingan kelayakan iaitu 28.600 mata untuk menduduki tempat kedua, Khamis lepas.

Sementara itu, Stadium Astro melaporkan, Joe Ee melakar kejutan dalam persembahan terakhir acara apparatus reben apabila memperoleh pingat emas kedua peribadi  sebentar tadi.

Turun selaku pesaing terakhir daripada lapan atlet, gerakan Joe Ee ternyata berjaya memukau juri dengan memperoleh 27.800 mata sekaligus memintas pendahulu saingan dari Scotland, Louise Christie yang meraih 27.550 mata dan Carmel Kallemaa dari Kanada (27.500 mata).

Rakan senegara, Koi Sie Yan, terpaksa akur menamatkan saingan di tempat keempat dengan 27.200 mata.