NILAI: Misi membawa pulang pingat dalam acara judo pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bukan satu tugas mudah, namun ia tidak mustahil bagi kedua-dua atlet muda negara, Amir Daniel Abdul Majeed dan Kamini Sri Segaran.

Ketua Kontinjen negara (CDM) ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata berdasarkan rekod cemerlang di Sukan SEA Hanoi, Mei lepas masing-masing berjaya meraih gangsa kategori bawah 73 kilogram (kg) lelaki dan bawah 57 kg wanita, mereka mampu melakar kejutan pada temasya di Birmingham, England itu.

"Ia bukan sesuatu yang mudah tapi tidak mustahil kerana kita tahu ada banyak negara mempunyai atlet sangat hebat di peringkat dunia tetapi saya harap mereka boleh buat kejutan kerana kedua-dua mereka pernah menang di Sukan SEA sebelum ini.

Cabaran cukup hebat di Sukan Komanwel kerana ada ramai atlet judo yang mereka tidak pernah jumpa...sukan seumpama ini subjektif kerana dia mempunyai juri, jadi kita harap mereka berikan yang terbaik, siapa tahu kalau bernasib baik mungkin ada kilauan pingat untuk kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan latihan atlet ke Sukan Komanwel di Velodrom Nasional di sini semalam.

Shahrul Zaman turut menyifatkan penyertaan kedua-dua atlet itu di temasya sukan berkenaan menunjukkan sukan judo Malaysia berpotensi untuk memberikan keputusan positif pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Amir Daniel, 18, mengakui gementar membawa cabaran negara pada temasya sukan itu namun menerusi bimbingan jurulatih berkaliber Md Nashriq Md Nassir, beliau optimis sekurang-kurangnya mampu mara ke peringkat suku akhir.

Beliau berkata kejayaan pada Sukan SEA Hanoi dan pencapaian 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, menjadi motivasi buatnya lebih-lebih lagi ini penampilan sulungnya pada temasya Sukan Komanwel.

"Ketika ini fokus saya pada taktikal sebab semua negara mereka ada banyak kekuatan contohnya Great Britain, jadi kita kena ada kekuatan dan teknik," katanya.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos, dengan pasukan judo negara dijangka memulakan aksi pertama pada 1 Ogos.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Zaman optimis kedua-dua penerjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri mampu menyumbang pingat emas pada temasya itu berikutan kejayaan mereka meraih gangsa pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, minggu lepas.

Pada kejohanan itu, dua pingat gangsa diperoleh dalam acara 10meter (m) platform wanita melalui Pandelela dan 10m platform seirama wanita menerusi gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah.

-- BERNAMA