HANOI: Skuad kurash kebangsaan boleh tersenyum apabila menamatkan cabaran di Sukan SEA ke-31 dengan kejayaan merangkul tiga pingat gangsa pada hari terakhir pertandingan yang berlangsung di Gimnasium Hoai Duc di sini hari ini.

Sebutir gangsa dimenangi Mohamad Razlan Rozaidi dalam kategori bawah 73 kilogram (kg) lelaki hari ini membantu skuad kebangsaan melepasi sasaran dua pingat gangsa yang ditetapkan.

Dua pingat gangsa lagi masing-masing dituai Yousuff Daniel Fauzi Cruz (bawah 66 kg) dan Mohamed Izzat Mohamed Noor dalam kategori bawah 90 kg pada hari pertandingan sebelum ini.

Jurulatih skuad kurash kebangsaan Amirul Asraf Ab Razak berkata barisan anak buahnya memiliki potensi untuk mengutip lebih banyak pingat jika mempunyai tempoh masa mencukupi untuk membuat persediaan termasuk menyertai pertandingan sebagai medan meraih pengalaman.

"Kelebihan mereka (atlet) adalah masih muda dan banyak lagi peluang untuk ke Sukan SEA dan mempunyai kekurangan dari segi pengalaman. Kalau dapat lebih latihan dan pertandingan insya-Allah mereka akan dapat apa yang diperlukan dan keputusan terbaik," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pengurus pasukan Susan Cheah Pik Yee berbangga dengan kejayaan anak buahnya meskipun pasukan hanya mula menjalani latihan kira-kira sebulan menjelang temasya sukan dwitahunan itu.

"Saya sangat berbangga kerana pencapaian ini dalam tempoh latihan yang pendek dan semasa bulan puasa, jadi keputusan dicapai adalah hebat. Mereka berpuasa dan hanya makan sikit waktu berbuka sebelum berlatih dengan gigih hingga lewat malam," katanya.

Namun, beliau sedikit terkilan adalah skuad kebangsaan tidak dapat mencuri satu lagi pingat dalam kategori atas 87 kg wanita selepas mempertaruhkan dua atlet.

"Dua atlet wanita ini saya dapat lihat potensi amat besar dan saya terkejut apabila tengok lawan pertama mereka adalah pemenang pingat emas edisi lepas dan seorang lagi juara bertahan Asia. Kita mesti mempunyai perancangan jangka panjang untuk kedua-dua ini," katanya.

Skuad kurash kebangsaan ke Sukan SEA ke-31 mempertaruhkan enam atlet masing-masing tiga lelaki dan wanita beraksi dalam lima kategori daripada keseluruhan 10 yang dipertandingkan.

Pada edisi 2019 di Filipina, skuad kurash yang diwakili dua atlet berjaya membawa pulang satu pingat perak dalam kategori bawah 90 kg menerusi Fakhrul Adam Fauzi Cruz.

-- BERNAMA