KUALA LUMPUR: Pasukan golf negara membutirkan dua lagi pingat pada Sukan SEA Hanoi 2021 hari ini.

Skuad lelaki, K Rhaasrikanesh, Ervin Chang, Marcus Lim dan A Nateeshvar berjaya menyumbang pingat emas dalam acara tersebut selepas menewaskan pasukan Thailand, 2-1 pada aksi akhir, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut sekali gus menamatkan kemarau emas 21 tahun bagi acara golf berpasukan lelaki.

Sementara itu,  Stadium Astro melaporkan K Rhaasrikanesh muncul wira apabila beraksi cemerlang di lubang ke-17 di Heron Lake Golf Course untuk mengatasi Pongsapak Laopakdee, sekali gus membutirkan mata kemenangan pasukan.

"Dia sedang membuat pukulan ketiga dan saya berada di belakangnya.

"Masa itu saya rasa amat gemuruh. Tapi ketika mahu membuat pukulan keempat, terlintas di fikiran saya bahawa pukulan ini akan pastikan emas.

"Pengurus pasukan (Teoh Piek Kee) berpesan supaya saya membayangkan bola berada di dalam lubang itu. Jadi saya mencuba dan ia masuk, kita menang emas," katanya.

Sementara itu, pasukan wanita yang dibarisi Jeneath Wong dan Mirabel Ting pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Thailand dengan perbezaan satu mata, 1.5 - 0.5.

Ervin sebelum ini menamatkan penantian negara selama 20 tahun selepas meraih pingat emas buat kontinjen negara menerusi acara golf individu (lelaki).