KUALA LUMPUR: Selepas teka-teki ke mana Moehamad ‘Chanks’ Zulisar akan meneruskan karier Esportsnya, jaguh FIFA dari Indonesia itu akhirnya menjadi milik Team Haq Esports Club (THQ) secara rasmi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif THQ, Muhammad Aimanulhaq Zaharuddin berkata, Chanks telah menandatangani kontrak di Indonesia dan bakal tiba di Malaysia seawal November depan.

Beliau berkata, Chanks yang pernah menjuarai ePiala Indonesia 2021 dan menjadi rebutan kelab-kelab e-sukan tempatan dan antarabangsa, memilih THQ sebagai pasukan baharu dengan keyakinan dapat mengembangkan lagi kerjaya beliau dalam industri ini.

“Kami telah bekerja keras untuk membawa Chanks ke pasukan ini dan sudah pasti saya berasa sangat gembira apabila perpindahan ini berjaya dilengkapkan.

"Terima kasih kami ucapkan kepada pasukan Zeus Indonesia kerana memberikan kerjasama yang sangat baik.

“Kemasukan Chanks ke pasukan kami sudah pasti akan meningkatkan kualiti pasukan dan saya yakin beliau akan cepat membiasakan diri dalam suasana di pasukan baharu beliau,” kata Muhammad Aimanulhaq.

Dalam kenyataan sama, Chanks berkata, perpindahan itu merupakan satu cabaran baharu buat dirinya, kerana buat pertama kalinya beliau beraksi di luar Indonesia.

“Turut berbangga kerana berpeluang beraksi bersama salah satu pasukan terbaik di Asia Tenggara. Saya yakin akan membawa lebih banyak kejuaraan untuk pasukan ini bersama rakan sepasukan,” katanya.

 
Sumber Facebook teamhaqmy

Chanks menyinar dalam industri e-sukan itu apabila beliau mencipta nama dengan pernah mewakili pasukan Persikabo pada musim lepas.

Selain itu, beliau berjaya menjadi tunjang utama membawa Indonesia ke kejohanan utama FIFAe Nation Cup, dengan membawa pulang hadiah bernilai Rp50 juta (RM14,727.87).