T-Team kekal dalam Liga Super musim depan

Bernama
Oktober 29, 2017 02:16 MYT
Pemain import Sarawak Mateo Roskam cuba mengelecek pemain Import T-Team Abdoulaye Youssouf Maiga pada saingan Liga Super di Stadium Negeri malam tadi. - Bernama
Tiada yang lebih menggembirakan jurulatih T-Team Rachmat Darmawan selain bersyukur apabila pasukannya berjaya mengekangkan Sarawak, sekali gus kekal dalam Liga Super musim depan.
Beliau mengaku pasukan Sarawak lebih menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus serta beberapa percubaan yang bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Mohd Suhaimi Husin.
"Saya mengarahkan pemain-pemain saya lebih bertahan dan sekali sekala lancarkan serangan balas. Nampaknya taktik itu berhasil mengekang kemaraan pasukan lawan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.
Beliau turut menyatakan kesediaannya menerima tawaran untuk terus membimbing T-Team bagi musim depan.
"Kita mempunyai ramai pemain muda yang berkebolehan dalam pasukan sekarang dan saya percaya kita akan memiliki pasukan yang lebih kuat bagi menghadapi musim baharu," katanya.
Rachmat berharap pihak pengurusan pasukan T-Team tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan pemain sedia ada kepada pasukan lain.
Beliau memberi reaksi sedemikian apabila diberitahu ura-ura beberapa pemain T-Team sedang diintai pasukan lain.
Katanya, tindakan melepaskan pemain kepada pasukan lain adalah merugikan kerana penggantinya belum pasti pemain yang lebih baik.
T-Team mengakhiri musim ini pada kedudukan ke-10 setelah Kelantan mencatat kemenangan ke atas Melaka FC dalam perlawanan terakhir malam tadi.
-- BERNAMA
#bola sepak #Liga Super #Sarawak #stadium negeri #T-Team