Pasukan T-Team yang kini di bawah pengurusan dan jurulatih baru Peter Butler telah meletakkan sasaran merangkul salah sebuah piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Justeru itu, pasukan kelab tersebut kini sedang giat mengatur sesi ujian bagi memilih pemain tempatan bagi mengisi tempat ramai pemain skuad itu yang telah berhijrah selepas kempen Liga Super berakhir Julai lalu.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Program Khas Sukan T-Team Ab Rashid Jusoh hari ini berkata sekurang-kurangnya 11 pemain dari pasukan Kuala Lumpur, Felda FC, Harimau Muda B dan Negeri Sembilan akan mengikuti sesi uji pemilihan.

Bagi slot pemain import, katanya telah mendapat khidmat pemain pertahanan kelahiran Ghana, George Boateng dan masih mencari seorang penyerang.

Beliau berkata pemain yang masih kekal adalah termasuk Syamsuri Mustafa, Mohd Iqbal Sulaiman, Zairo Anuar Zailani, Faiz Subri, Muinuddin Mokhtar, Hashullah Awang, Shahril Faizal dan Nor Fadli Alias.

Manakala pasukan itu, yang menghuni tempat kelapan dalam Liga Super musim ini, diperkuatkan oleh bekas pemain Terengganu Marzuki Yusof dan Mazlizam Mohamad.

Beliau berkata senarai muktamad barisan T-Team serta skuad Terengganu akan diumumkan serentak oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said sama ada pada akhir bulan ini atau awal bulan depan.