Tenis Terbuka Australia: Serena catat rekod kejuaraan Grand Slam ke-23

Agensi
Januari 28, 2017 14:33 MYT
Serena cuba membalas pukulan Venus pada aksi final perseorangan wanita Terbuka Australia pada 28 Januari 2017. -Foto AP
Serena Williams, 35, menjulang gelaran ketujuh Terbuka Australia selepas menewaskan kakaknya Venus Williams, 36, pada Sabtu.
Beliau mudah mengetepikan Venus 6-4, 6-4 dan turut merekodkan kejuaraan Grand Slam kali ke-23.
Kemenangan itu turut menjadikan Serena berjaya merampas semula kedudukan pemain nombor satu dunia daripada Angelique Kerber.
Lebih bermakna, kemenangan Serena memintas rekod kemenangan major sepanjang zaman Steffi Graf sejak Grand Slam menerima masuk pemain profesional pada 1968.
"Venus merupakan pemain yang paling sukar untuk saya tewaskan.
"Tidak mungkin saya mampu meraih gelaran ke-23 tanpa Venus. Tidak mungkin saya akan menjadi nombor satu tanpa Venus," kata Serena.
Sementara itu Venus meluahkan rasa bangga di atas kemenangan adiknya.
"Ini satu kemenangan yang menakjubkan.
"Saya amat berbangga dengan awak. Awak segala-galanya pada saya," tambah Venus.
#Grand Slam #kejuaraan ke-23 #Serena Williams #Venus Williams