Terbuka India: Hasrat Pearly-Thinaah ke final disekat beregu nombor dua dunia

Astro Arena
Januari 21, 2023 21:30 MYT
Ia tetap satu kebangkitan prestasi yang baik buat Pearly dan Thinaah selepas mereka terkandas seawal pusingan pertama dalam Kejohanan Terbuka Malaysia minggu lalu. - Stadium Astro
HASRAT beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, untuk ke final Kejohanan Badminton Terbuka India tidak kesampaian selepas tewas kepada beregu nombor dua dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, dalam aksi separuh akhir di New Delhi malam tadi.
Pearly dan Thinaah pada awalnya membuktikan mereka mampu memberikan saingan dalam set pertama tetapi memasuki pertengahan aksi, mereka mula melakukan kesilapan demi kesilapan, antaranya memberikan lawan enam mata berturut-turut di kedudukan 18-11, sebelum akur dengan kekalahan 14-21.
Skrip hampir sama berlaku dalam set kedua, di mana pasangan negara di ranking keenam dunia itu tidak membenarkan lawan untuk menjarakkan mata terlalu jauh sehingga satu ketika mengikat kedudukan 8-8.
Namun selepas itu, mereka mula berdepan kesukaran untuk memecahkan tembok pertahanan lawan sebelum akur menamatkan pertarungan selama 43 minit itu dengan kekalahan 16-21.
Bagaimanapun, ia tetap satu kebangkitan prestasi yang baik buat Pearly dan Thinaah selepas mereka terkandas seawal pusingan pertama dalam Kejohanan Terbuka Malaysia minggu lalu. - Stadium Astro
#Terbuka India #Pearly-Thinaah #Nami Matsuyama-Chiharu Shida #Separuh Akhir