KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mencabar anak buahnya supaya terus mengejutkannya apabila bertemu Tajikistan dalam aksi final Piala Raja Thailand di Stadium Chiang Mai, malam ini.

Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata ini berikutan pemain sentiasa melebihi jangkaan beliau dalam setiap perlawanan sejak beliau dilantik sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan, Januari lalu.

"Saya tidak sabar untuk melihat reaksi pemain kerana mereka selalu mengejutkan saya sebelum ini. Semoga pemain akan mempunyai keyakinan penuh (menentang Tajikistan) pada Ahad," katanya pada sidang media praperlawanan di Chiang Mai, Sabtu.

Pan Gon juga berjanji kepada penyokong Malaysia bahawa anak buahnya akan memperagakan persembahan terbaik di atas padang menentang pasukan bimbingan Petar Segert dan cuba menamatkan kemarau 44 tahun Malaysia selepas kali terakhir merangkul piala itu pada 1978.

Beliau juga yakin skuad Harimau Malaya di ranking ke-148 dunia dapat mengatasi tekanan sekiranya perlawanan diputuskan menerusi penentuan sepakan penalti berikutan pernah mengalami dan memenangi penalti menentang negara tuan rumah, Thailand, 5-3, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Pan Gon memaklumkan bahawa Tajikistan, yang menduduki ranking ke-102 dunia berkongsi sedikit persamaan dengan Turkmenistan, skuad yang mereka tewaskan 3-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu, kerana kedua-dua pasukan berasal dari Zon Asia Tengah.

"Saya fikir budaya dan fizikal tertentu mungkin serupa tetapi apa yang boleh saya katakan ialah pendekatan praktikalnya benar-benar berbeza daripada kedua-dua pasukan. Saya rasa Tajikistan lebih kuat sedikit daripada Turkmenistan," katanya.

Kali terakhir kedua-dua negara bertemu ialah pada 2019 di mana Malaysia menang 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Saya fikir begitu kerana kami mempunyai skuad yang bagus dan sesiapa sahaja boleh bermain. Pada kejohanan lalu (Kelayakan Piala Asia 2023), kami menggunakan ramai pemain berbeza dan mereka masih menunjukkan prestasi yang hebat," katanya.

Selain memenangi Piala Raja Thailand pada 1978, Malaysia pernah memenangi kejohanan itu pada 1972, 1976, dan 1977.

Sementara itu, pemain tengah kacukan Malaysia-Australia, Brendan Gan percaya bahawa Ahad adalah hari dinanti-nantikan untuk menamatkan kemarau 44 tahun memenangi piala tersebut.

Justeru, beliau menyeru rakan sepasukan untuk 'mengaum' di atas padang dengan memberikan persembahan 100 peratus dalam usaha menjulang piala itu sempena ulang tahun ke-700 Stadium Chiang Mai itu.

"Saya faham ia bukan perlawanan yang mudah menentang Tajikistan tetapi dengan latihan keras di dalam dan luar padang, mudah-mudahan ia akan membuahkan hasil pada perlawanan malam Ahad," katanya pada sidang media berkenaan.

-- BERNAMA