KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner menjangkakan skuad kendaliannya bakal berdepan tentangan sengit pada aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, malam esok.

Beliau berkata ia memandangkan Sang Kenari yang dibimbing oleh bekas jurulatih TFC, Nafuzi Zain memiliki barisan pemain yang mantap dan berkualiti seperti Lee Tuck dan Manuel Hidalgo.

Menurut Steinbruckner, walaupun pernah bekerja dalam satu pasukan dengan Nafuzi, ia bukan suatu kelebihan untuk pasukannya mengatasi Kedah dengan mudah.

"Ramai teruja dan bertanya bagaimana perasaanya saya untuk berdepan cabaran daripada Nafuzi. Tapi antara saya dan Nafuzi, tiada pertandingan...tapi antara TFC dan Kedah.

"Nafuzi adalah jurulatih yang bagus dan mempunyai pasukan yang baik. Jadi, kita akan lihat siapa lebih bertuah atau berkualiti esok," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Steinbruckner berkata untuk perlawanan malam esok, beliau meletakkan sandaran kepada pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi untuk mengemudi bahagian tengah memandangkan tonggak import Habib Haroon masih dibelenggu kecederaan hamstring.

Sementara itu pemain import TFC, Sony Norde menggesa rakan sepasukan supaya lebih agresif dan mencipta banyak peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari tempat lawan.

Beliau berkata semua pemain perlu segera membina keserasian dan persefahaman kerana ia faktor penting menentukan kemenangan pasukan.

"TFC ada ramai pemain baharu. Sudah tentu mengambil masa untuk membina keserasian dan persefahaman antara kami.

"Tapi kita perlu cepat sebelum terlambat. Perlawanan pertama selalunya suatu yang sukar. Tapi untuk perlawanan seterusnya, saya harap kita boleh berikan yang lebih baik untuk dapatkan tiga mata," katanya.

-- BERNAMA