Ketua jurulatih Thailand, Kairung Threejagsang berjanji akan menurunkan barisan terkuat apabila menentang Malaysia pada perlawanan akhir pusingan awal Pestabola Merdeka, Rabu ini.

Katanya beliau akan menampilkan kesebelasan utama bagi memastikan pungutan mata penuh pada pertemuan itu di Stadium Darul Makmur di sini.

Bagaimanapun, kapten pasukan, Mahamasabri Awaebuesa tidak akan bermain pada perlawanan itu selepas mengutip dua kad kuning, katanya kepada pemberita selepas pasukan itu mengalahkan Singapura 1-0 di sini hari ini.

Mengulas perlawanan itu, Kairung berkata beliau kagum dengan prestasi anak buahnya walaupun sekadar jaringan tunggal Pakorn Parmpak pada minit ke-34.

"Pemain mengikut panduan taktik yang diberi dan beraksi dengan amat baik sekali...sebab itu kita memang. Kita sepatutnya menambah lebih banyak jaringan jika pemain dapat menyudahkan peluang yang terhidang," katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih skuad Singapura bawah 23 tahun, K. Balagumaran mengakui pihak lawan lebh kuat berbanding skuadnya yang kebanyakannya terdiri daripada muka baharu.

"Kami agak malang untuk melepaskan gol pada babak pertama. Kami cuba bangkit pada babak kedua tetapi corak permainan secara bertahan oleh Thailand begitu baik sekali dan mereka berhak mengumpul mata penuh," katanya.

Mengenai ketua jurulatih V. Sundramoorthy diarah meninggalkan bangku simpanan oleh pengadil Myanmar, Win Htut, pada perlawanan itu, katanya, mereka akan menunggu pengesahan daripada pegawai perlawanan.

Peluang Singapura untuk melangkah ke final sudah terkubur dengan kekalahan kedua berturut-turut dan akan melengkapkan jadual pusingan awal menentang Myanmar di Stadium Mini Temerloh, Rabu ini.

Kejohanan edisi ke-41 itu disertai oleh empat negara iaitu skuad bawah 23 tahun Malaysia, Thailand, Myanmar dan Singapura.