Tiga pasukan Eropah -- England, Jerman dan Sepanyol -- adalah antara pasukan yang sudah tiba di Brazil untuk mengejar impian menjulang piala berprestij sukan bola sepak, Piala Dunia bermula Sabtu ini.

Pesawat yang membawa pasukan England mendarat di Rio de Janeiro selepas penerbangan dari Miami. Sebaik tiba, mereka dibawa ke hotel penginapan dengan diiringi oleh polis tentera.

Hotel tempat mereka menginap, Royal Tulip, baru-baru ini dibaikpulih melibatkan perbelanjaan berjuta-juta dolar. Penduduk setempat bagaimanapun mengingati hotel ini sebagai lokasi insiden berbalas tembak pada 2010 selepas lelaki bersenjata menjadikan pekerja dan tetamu hotel sebagai tebusan.

England yang diletakkan dalam Kumpulan D akan bertemu Itali di Manaus pada Ahad (waktu Malaysia).

England menamatkan kempen pra Piala Dunia dengan persembahan hambar seri 0-0 dengan Honduras.

Pengurusnya, Roy Hodgson bagaimanapun mempertahankan anak buahnya dan berkata pasukan itu berada dalam keadaan baik dan tidak sabar untuk berentap dengan Itali.

Sementara itu, skuad Sepanyol bimbingan Vicente Del Bosque tiba dengan cita-cita menang gelaran kali keempat berturut-turut. Sepanyol menang EUFA EURO pada 2008 dan 2012 dan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Pasukan ini tiba dari Amerika Syarikat selepas menumpaskan El Salvador 2-0 dalam perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia.

Sepanyol yang berada dalam Kumpulan B bersama Chile dan Australia akan membuka kempennya menentang Netherlands pada 14 Jun.

Dalam pada itu, pasukan Jerman mendapat sambutan gemuruh daripada para peminatnya sebaik mereka tiba di Santa Cruz Cabralia di Bahia. Pasukan itu kemudian menaiki sebuah bot yang membawa mereka ke lokasi khas yang tempat berkampung sepanjang kempen Piala Dunia ini.

"Harapan sangat tinggi setiap kali pasukan Jerman melangkah ke Piala Dunia," kata pengurus pasukan, Oliver Bierhoff.

Selain Brazil yang jadi tuan rumah, Jerman adalah antara pasukan pilihan.

Jerman akan menentang Portugal dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G pada 17 Jun ini.

Sementara itu, satu demi satu pasukan lain juga mula tiba menjelang sepak mula antara Brazil dan Croatia pada 13 Jun ini. Sehingga petang Ahad, 19 pasukan sudah berada di Brazil.

Selain Sepanyol, Rusia, Greece dan Algeria juga tiba di Brazil pada Ahad. -- Agensi