KUALA LUMPUR: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kelab bola sepak yang berminat untuk datang 'memeriksa' serta melakukan audit kewangan termasuk sumber pendapatan dan perbelanjaan skuad Harimau Selatan itu.

Ia sebagai respons Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi ciapan Twitter beliau berhubung tuduhan gaji barisan pemain JDT dibayar oleh 'kontraktor'.

Menurut Tunku Ismail, kewangan JDT datang daripada penaja, dirinya dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

"Ini bukan duit dari Menteri Besar atau duit kerajaan. Bagaimana pula dengan kelab anda?," menurut ciapan Tunku Ismail, pagi ini.


Terdahulu, Tunku Ismail berkata beliau sudah lama menunggu soalan berhubung tuduhan terdapat 'kontraktor' membayar gaji pemain-pemain JDT yang dipersoal seorang pemilik akaun Twitter.

JDT, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, kini menerajui musim 2023 dengan mengumpul 21 mata selepas memulakan kempen dengan cemerlang apabila meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan pertama dengan mencetak 30 gol dan bolos hanya sekali.

-- BERNAMA