ANKARA: Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo pada Rabu mengesahkan kluster pertama COVID-19 dikesan dalam kalangan peserta sejak kejohanan bermula pada 23 Julai.

"Saya terpaksa katakan ini adalah kluster," kata jurucakap jawatankuasa penganjur Masanori Takaya.

Sekurang-kurangnya 29 kes baharu direkodkan termasuk tiga atlet renang berirama dari Greece, lapor Agensi Berita Anadolu memetik Kyodo News.

Jawatankuasa Olimpik Greece berkata pasukan renangnya menarik diri daripada pertandingan itu akibat dijangkiti COVID-19.

Menurut penganjur sebanyak 322 kes dilaporkan setakat ini.

Sementara itu, tuan rumah Tokyo mencatatkan 4,166 kes baharu COVID-19 pada Rabu. Setakat Selasa, Jepun merekodkan 956,407 kes dan 15,219 kematian.

-- BERNAMA