SUKAN Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan satu lagi sejarah tercipta semalam apabila San Marino menjadi negara paling kurang penduduk memenangi pingat Olimpik.

Alessandra Perilli meraih gangsa dalam acara menembak (trap), sekali gus menjadi orang pertama memenangi pingat Olimpik dalam negara yang hanya mempunyai 34,000 penduduk.

San Marino memecah rekod Bermuda, dua hari selepas Flora Duffy memenangi pingat emas dalam acara triatlon wanita.

Negara kecil yang berpusat di utara Itali itu turut menjadi negara paling sedikit penduduk memenangi dalam sejarah temasya musim panas atau musim sejuk, rekod yang sebelum ini dipegang Liechtenstein, yang telah memenangi 10 pingat Olimpik.

Perilli, yang menamatkan saingan di tempat keempat dalam Sukan Olimpik London, memperbaiki pencapaian sembilan tahun kemudian, menamatkan saingan di belakang pemenang pingat emas, Zuzana Stefecekova dari Slovakia dan wakil Amerika Syarikat, Kayle Browning, yang meraih perak.

"Ketika aksi final, apabila penembak kelima tersingkir, saya hanya memikirkan tidak mahu sekali lagi menamatkan saingan di tempat keempat, jadi saya perlu melakukan yang terbaik," katanya.

"Ini adalah pingat pertama saya dan untuk negara. Kami datang dari negara kecil tetapi cukup berbangga."