PETALING JAYA: Biarpun kurang bermain dalam perlawanan yang kompetitif, Turkmenistan yang memulakan kempennya pada kelayakan Piala Asia 2023 hari ini, menyasarkan untuk layak ke pusingan akhir.

Ketua Jurulatihnya Yazguly Hojageldiyev berkata ia merupakan pengiktirafan tertinggi buat skuad "The Green" untuk menyertai Piala Asia selepas berjaya layak dalam edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Biarpun bakal berhadapan tentangan sengit daripada pasukan pilihan Bahrain dan Malaysia yang mempunyai kelebihan selaku tuan rumah, Hojageldiyev kekal optimis untuk memastikan pasukannya mengatasi halangan dalam Kumpulan E pada kempen kelayakan kali ini.

"Ia satu penghormatan untuk berada di sini dan kami mahu melepasi kumpulan ini dan sudah tentu perlawanan pertama adalah amat sukar biarpun dalam mana-mana pertandingan tetapi kami mahu layak dari sini," katanya dalam satu sidang media praperlawanan di sini semalam.

Turkmenistan tewas 0-1 kepada Thailand bulan lepas dalam perlawanan kompetitif sulungnya sejak Jun 2021 sementara Malaysia mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan tahun ini dan terbaharu kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong di Stadium Nasional.

Turkmenistan akan memulakan kempen mereka menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini sebelum bertemu Bangladesh (11 Jun) dan Bahrain pada 14 Jun dalam usahanya muncul juara atau lima naib juara teratas sebelum mengesahkan satu slot ke Piala Asia.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Malaysia, Hojageldiyev berkata beliau tidak menilai dari kekuatan pasukan lawan daripada persepktif kedudukan ranking walaupun Turkmenistan berada pada ranking ke-134 dunia berbanding Harimau Malaysia di kedudukan ke-154.

Bahkan, beliau menggambarkan Malaysia kini mempunyai corak serangan yang lebih baik.

Sementara itu, beliau berkata pasukannya perlu mencari jalan mengatasi kesuntukan masa kerana jadual perlawanan yang mengehadkan peluang mereka untuk mengadakan sesi latihan.

"Ia adalah sukar untuk setiap individu di sini, bukan hanya kerana masa rehat tetapi juga masa berlatih. Kami perlu menyelesaikan isu ini, perlawanan akan menjadi sukar kerana perlawanan pertama kami pada pukul 9 malam dan perlawanan seterusnya pada sebelah petang, jadi kita lihat apa yang akan berlaku," katanya.

Pada masa sama, penjaga gol Mammet Orazmuhammedov berkata motivasi terbesar pasukan itu ialah untuk layak ke Piala Asia 2023 dan yakin rakan sepasukannya akan mempersembahkan aksi positif untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan hari ini.

-- BERNAMA