KUALA LUMPUR: Usaha dua kali ganda perlu dilakukan oleh pemain perseorangan lelaki dari serata dunia jika berhasrat menumbangkan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen.

Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei mengakui jaguh dari Denmark itu lebih konsisten selain memiliki hantaran serta pukulan berkualiti tinggi berbanding pemain lain.

Beliau berkata Axelsen juga dilihat telah matang lebih-lebih lagi selepas muncul juara Olimpik 2020 di Tokyo, tahun lepas berbanding ketika beliau sendiri berdepan bintang Eropah itu sebelum ini.

"Memang Axelsen ketika ini lebih sabar terutamanya ketika rally panjang, jika dahulu kalau saya berjaya menahan hantarannya, dia akan selalu marah," katanya ketika bersiaran secara langsung di aplikasi TikTok bersama bekas pemain Indonesia, Taufik Hidayat, malam tadi.

Taufik yang sependapat dengan Chong Wei berkata selain mempunyai ciri fizikal dengan ketinggian 194 sentimeter, pukulan tajam dimiliki Axelsen menjadi senjata utama pemain berusia 28 tahun itu.

"Pemain lain mesti main cepat (tempo permainan) dengan Axelsen, latihan kena lebih baru bisa (boleh) kalahkannya," kata juara Olimpik 2004 di Athens, Greece itu.

Axelsen, yang kini berada di kemuncak prestasi, telah menjuarai tiga kejohanan pada tahun ini iaitu All England (Mac) dan 'menakluk' Indonesia menerusi dua kejayaan berturut-turut di Masters Indonesia serta Terbuka Indonesia, baru-baru ini.

Sementara itu, Chong Wei yang mengimbau era gemilangnya, mengakui peluang lebih terbuka baginya memenangi banyak kejohanan sekiranya beliau masih muda dan bermain ketika ini.

Jelasnya, saingan pada zamannya lebih mencabar kerana terdapat ramai pemain handal seperti tiga jaguh dari China iaitu Lin Dan, Bao Chunlai dan Chen Long selain jaguh Denmark Peter Gade serta Taufik.

Taufik juga bersetuju dengan pandangan Chong Wei apabila menyatakan saingan lebih sengit pada era kegemilangannya berbanding ketika ini.

"Saya bukan sombong, namun jika kami berdua berumur 22 hingga 23 tahun sekarang, mungkin kami boleh menang (kejohanan) lagi, dahulunya lebih sukar," katanya.

-- BERNAMA