V Shem-Wee Kiong mara ke suku akhir Masters Thailand

Astro Arena
Februari 11, 2016 04:20 MYT
Pilihan keenam itu mengetuai cabaran empat wakil Malaysia selepas menundukkan beregu tuan rumah, Inkarat Apisuk/Sutichon Pol-Gul 21-11, 21-17 di pusingan kedua.
Beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong layak ke pusingan suku akhir Kejohanan Masters Thailand Puteri Sirivannavari di Bangkok, pada Rabu.
Pilihan keenam itu mengetuai cabaran empat wakil Malaysia selepas menundukkan beregu tuan rumah, Inkarat Apisuk-Sutichon Pol-Gul 21-11, 21-17 di pusingan kedua.
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga mara ke pusingan seterusnya selepas membenam wakil Korea Selatan Choi Solgyu/Kim Jae Hwan 21-16, 21-15.
Beregu wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mengesahkan tempat ke suku akhir pada ketika cabaran pemain perseorangan lelaki negara berakhir di kejohanan ini.
Malang buat dua wakil negara dalam acara perseorangan lelaki apabila juara dunia remaja 2011, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang gagal meneruskan kemaraan.
Zulfadli tewas straight set 17-21, 14-21 kepada pilihan kedua, Son Wan Ho dari Korea Selatan manakala Tan kalah 17-21, 21-18, 9-21 kepada seorang lagi pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin dalam aksi pusingan ketiga.
Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan wanita di kejohanan berstatus Grand Prix Emas yang menawarkan hadiah berjumlah RM498,267.
#badminton #Goh V Shem #Koo Kien Keat #Master Thailand #Tan Boon Heong #Tan Wee Kiong #Vivian Hoo Kah Mun #Woon Khe Wei