Wan Arif-Roy King teruskan kemaraan di Sepanyol

Sinar Harian
Mac 30, 2024 04:15 MYT
Wan Arif-Roy King mara kelompok empat terbaik di Sepanyol. Foto Agensi
BEREGU badminton muda negara Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King meneruskan persembahan cemerlang apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Sepanyol Masters.
Wan Arif-Roy King, berstatus nombor 65 dunia mara ke kelompok empat terbaik kejuaraan Super 300 itu selepas menyingkirkan cabaran pilihan kelapan dari India, Arjun Madathil Ramachandran-Dhruv Kapila pada Jumaat.
Biarpun begitu, Wan Arif-Roy King berdepan tentangan sengit dalam perlawanan yang berlangsung selama 62 minit di Pusat Sukan Perbandaran Gallur, Madrid tersebut.
Set pertama Wan Arif-Roy King menang 21-19, sebelum Arjun Madathil Ramachandran-Dhruv Kapila kembali bangkit menang set kedua 23-21.
Set ketiga, Wan Arif-Roy King menampilkan permainan lebih kemas berjaya menyaingi tekanan serta gaya pantas Arjun Madathil Ramachandran-Dhruv Kapila untuk menang 21-17.
Halangan Wan Arif-Roy King seterusnya adalah wakil Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov yang menjinakkan Huang Di-Liu Yi dari China, 14-21, 21-18, 21-18 dalam masa 67 minit.
Sementara itu, cabaran pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao terhenti di suku akhir selepas tewas straight set kepada pemain Taiwan, Chou Tien Chen, 16-21, 12-21 dalam masa 33 minit.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Wan Muhammad Arif Wan Junaidi #Yap Roy King #beregu malaysia #badminton #Sepanyol Masters