KUALA LUMPUR: Pemain skuasy remaja negara Wong Heng Wai menepati ramalan apabila merangkul kejuaraan perseorangan wanita Kejohanan Jelajah Satelit Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 1 semalam.

Pemain berusia 20 tahun yang menduduki ranking ke-202 dunia, muncul juara selepas mengalahkan N Shasmithaa 11-4, 11-9, 11-7 pada aksi final yang berlangsung di Royal Sungei Ujong Club, Seremban, Negeri Sembilan.

Heng Wai selaku pilihan utama itu berkata beliau sangat gembira dan bersyukur memenangi gelaran PSA pertamanya.

"Selepas separuh akhir, saya menukar strategi dan cuba lebih tenang, sabar dan minimumkan kesilapan mudah. Ia sangat membantu saya meraih kemenangan hari ini," katanya menerusi rakaman video dikongsi Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM).

Bagi Shasmithaa, 20, pula, walaupun tewas namun beliau sangat berpuas hati dengan prestasinya sepanjang kejohanan.

"Sebenarnya, saya bermain dengan baik hari ini tapi beberapa pukulan tidak berhasil. Saya berpuas hati dengan permainan keseluruhannya. Mungkin boleh menang jika semua berjalan lancar seperti dirancang," katanya.

Sementara itu, Muhammad Amir Amirul Azhar terlepas peluang bergelar juara perseorangan lelaki selepas tewas kepada pemain Korea Selatan Minwoo Lee 9-11, 13-11, 4-11, 0-11.

"Saya kecewa dengan permainan saya hari ini, sebab lakukan banyak kesilapan. Selepas menang set kedua, saya kembali yakin dan tukar strategi namun ia tidak dapat menukarkan keputusan," katanya.

-- BERNAMA